Balai Polis Bergerak Ditempatkan Di Kediaman Najib Esok

KUALA LUMPUR: Sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta, mulai esok bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sekiranya proses pemindahan beliau dari penjara ke kediaman itu dilaksanakan.

Ketua Polis Sentul, ACP Anuar Bakri Abdul Salam, berkata penempatan bermula jam 7 pagi itu bukan bertujuan mengawal Najib sepanjang masa, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek keselamatan ketika proses pemindahan, termasuk mengawal pergerakan media, penyokong dan kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima pengesahan rasmi bahawa kediaman berkenaan akan menjadi lokasi tahanan rumah Najib, selain terdapat kemungkinan kediaman lain turut dipertimbangkan.

“PDRM hanya memudah cara pergerakan Najib untuk masuk dan pada masa sama menjaga keselamatan pemberita,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurutnya, empat pegawai Jabatan Penjara Malaysia turut hadir di kediaman berkenaan semalam bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.

Anuar berkata, kawalan polis ketika proses itu dijangka membabitkan seorang penyelia dan dua anggota, selain dibantu unit kereta peronda (MPV).

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, tanggungjawab mengawasi Najib sekiranya menjalani tahanan rumah adalah di bawah Jabatan Penjara dan bukan PDRM.

Sebelum ini, Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan SOP tahanan rumah akan memperincikan aspek termasuk lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan Najib selepas surat rasmi berkaitan diterima.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

BBerkaitan

Latest articles