KUALA PILAH: Pakatan Harapan (PH) menegaskan belum wujud sebarang rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meskipun parti itu membuka ruang untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana pihak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata setakat ini tiada usaha rasmi dilakukan PH untuk mengadakan rundingan dengan BERSATU, khususnya bagi menghadapi PRN Melaka.
“Setakat ini kita (PH) belum mengadakan sebarang rundingan kerjasama politik dengan BERSATU terutama menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Mungkin mereka ada maklumat tambahan selain daripada apa yang disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi 2025 di Perkarangan Surau Kampung Tebat Kering, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, beliau juga akan mendapatkan perkembangan lanjut berhubung perkara itu apabila Perdana Menteri dan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, menghadiri program di Masjid Tanah malam ini.
Kenyataan itu hadir sehari selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi isyarat bahawa partinya terbuka untuk meneroka kerjasama dengan pihak lain menjelang pilihan raya akan datang, asalkan prinsip perjuangan BERSATU dihormati.
Muhyiddin sebelum ini turut menegaskan BERSATU tidak akan bergerak secara solo pada PRU16 dan perlu membentuk kerjasama dengan parti lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, pada 19 September memaklumkan PH negeri sedang memuktamadkan rundingan dengan parti lain, termasuk BERSATU, bagi membentuk kerjasama PH Plus menghadapi PRN Melaka.
Percanggahan kenyataan antara pimpinan PH di peringkat pusat dan Melaka itu menunjukkan bentuk serta tahap rundingan kerjasama politik berkenaan masih belum dimuktamadkan secara rasmi.
Adly turut memaklumkan pembahagian kerusi antara PKR, Amanah dan DAP di Melaka telah diselesaikan, manakala sebarang kerjasama dengan parti luar PH hanya akan diumumkan selepas proses rundingan selesai.










