KUALA LUMPUR: BERSATU tidak menutup pintu untuk membentuk jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), malah sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa parti politik bagi membincangkan kemungkinan kerjasama berkenaan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata perbincangan itu masih di peringkat awal dan belum menghasilkan sebarang keputusan muktamad.
Menurut beliau, BERSATU bersedia meneroka bentuk kerjasama dengan mana-mana parti yang menghormati prinsip asas perjuangan parti itu.
“Saya sebutkan secara umum memang ada (pertemuan dengan beberapa parti politik). Saya sebutkan lambaian untuk berjumpa dan berbincang,” katanya ketika ditemui media pada Sambutan Hari Ulang Tahun BERSATU ke-10, malam ini.
Muhyiddin menegaskan BERSATU tidak boleh terikat kepada mana-mana parti dalam menentukan hala tuju serta bentuk jajaran politik yang bakal dibentuk.
Katanya, pendirian untuk bekerjasama dengan parti lain sudah menjadi prinsip BERSATU sejak penubuhannya kerana parti itu menyedari keperluan membina kekuatan secara bersama dan bukannya bergerak sendirian.
Beliau berkata, pengalaman BERSATU bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan turut mengukuhkan pendirian berkenaan.
“Pengalaman itu membuktikan bahawa pendirian kita mengenai kepentingan kerjasama adalah tepat.
“Bagaimanapun, BERSATU dinafikan untuk bekerjasama oleh pihak Perikatan Nasional (PN), khususnya PN di bawah PAS, maka itulah yang berlaku,” katanya.
Muhyiddin berkata, pembentukan PN sebelum ini adalah antara usaha mewujudkan sebuah gabungan politik yang lebih tersusun bagi menghimpunkan kekuatan parti-parti yang terbabit.
Menurutnya, kerjasama berkenaan sebelum ini membolehkan parti-parti dalam gabungan itu menghadapi pilihan raya secara bersama dan memperoleh kemenangan.
“Bila sampai pilihan raya, kita bertanding dan kita menang. Itu caranya.
“Bagaimanapun, BERSATU tidak mempunyai pilihan sekiranya terdapat pihak yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama,” katanya.










