Akmal ‘Ingatkan’ Kor Ming Soal Janji Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan membuka ruang kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh untuk ‘mengingatkan’ seorang lagi pemimpin DAP, Nga Kor Ming mengenai kenyataannya sebelum ini berhubung perkara sama.

Menerusi hantaran di Facebook, Muhammad Akmal mengaitkan perkembangan terbaharu dalam DAP itu dengan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkenaan, sambil menyindir bahawa apa yang berlaku seolah-olah tidak selari dengan apa yang pernah dinyatakan sebelum ini.

“Kalau terlupa atau buat-buat lupa, saya ingatkan macam mana nak buat surat (letak jawatan) ya.

“Boleh share (kongsi) pada kawan-kawan lain juga jika diorang berani lahhh,” katanya.

Muhammad Akmal turut menyertakan semula hantaran beliau pada 12 Julai lalu yang memaparkan surat peletakan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, dipercayai sebagai rujukan kepada Nga.

Terdahulu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan keputusan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, Loke menjelaskan menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut berkata terdapat pihak yang menantikan DAP meninggalkan kerajaan sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kehilangan sokongan majoriti dan Parlimen terpaksa dibubarkan.

Sementara itu, Nga sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan menjadi menteri pertama yang meletakkan jawatan sekiranya UMNO mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Najib dibebaskan.

BBerkaitan

Latest articles