KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membuka kepada umum minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membawa kepada keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, pendedahan itu penting supaya rakyat dapat mengetahui asas pertimbangan serta perjalanan proses yang akhirnya menghasilkan keputusan berkenaan.
Katanya, penjelasan secara terbuka diperlukan bagi memastikan keputusan tersebut difahami berdasarkan proses dan pertimbangan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
Gesaan itu disuarakan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung selama tiga jam petang tadi.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat berkenaan turut menyaksikan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mengumumkan hasrat untuk meninggalkan jawatan Menteri Pengangkutan sebagai reaksi terhadap keputusan pengampunan bersyarat Najib.
Teo berkata, pendirian yang diambil Loke itu merupakan keputusan yang telah dipertimbangkan dengan sewajarnya dan bukan tindakan yang dibuat secara tergesa-gesa.
Menurutnya, langkah berkenaan memperlihatkan ketegasan Loke dalam mempertahankan prinsip yang selama ini menjadi pegangan DAP.
“Keberanian dan kebijaksanaan beliau membuat keputusan tegas pada saat genting ini membuktikan kewibawaan kepimpinannya, selain mencerminkan prinsip pegangan DAP sejak sekian lama (berhubung isu ini),” katanya.
Sebelum itu, Loke menjelaskan beliau merupakan satu-satunya pemimpin DAP yang memilih untuk melepaskan jawatan berikutan keputusan pengampunan berkenaan, dengan mengambil kira keperluan memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
Najib, 73, yang sedang menjalani hukuman enam tahun penjara berkaitan kes SRC International kini dibenarkan menjalani baki hukuman tersebut di rumah.
Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta, manakala kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan beliau dikenakan tambahan hukuman penjara selama setahun.
Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan keputusan pengampunan bersyarat itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.










