​SHAH ALAM: Pemilikan dan penguasaan ekonomi yang kukuh merupakan kunci utama kepada kelangsungan kuasa politik sesebuah bangsa di negara ini.
​Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kegagalan menguasai sektor ekonomi secara meluas boleh menyebabkan kedudukan politik sesuatu kaum menjadi rapuh, sekali gus terdedah kepada dominasi pihak lain.
​”Sesiapa yang menguasai ekonomi, akhirnya akan menguasai politik. Dulu kita menguasai politik, tetapi sekarang ekonomi kita tidak kuasai, politik pun kita tidak kuasai sepenuhnya.
​”Apabila orang Melayu berpecah, maka pihak lain yang akan memerintah di belakang tabir pemerintahan kerana jumlah kerusi mereka yang banyak,” katanya.
​Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika berucap sebagai tetamu kehormat pada program Wawasan Ketuanan Melayu Pewaris Malaysia di sini, malam tadi.
​Mengulas lanjut, Ahmad mendedahkan statistik demografi terkini negara daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan populasi Bumiputera dan Melayu kini mencapai 70.6 peratus, manakala kaum Cina 22.1 peratus dan India 6.5 peratus.
​Bagaimanapun, menurut beliau, peratusan populasi yang tinggi itu tidak mencerminkan pegangan ekonomi yang seimbang.
​”Daripada senarai 50 tokoh bilioner teratas di Malaysia yang dikeluarkan Forbes, hanya tiga orang sahaja daripada kalangan Melayu. Manakala 43 daripadanya adalah kaum Cina. Walhal mereka hanya merangkumi 22.1 peratus daripada keseluruhan penduduk.
​”Malah, dalam pasaran produk halal di Malaysia yang membabitkan 9,520 syarikat pemegang sijil halal, hanya 40 peratus atau 3,803 syarikat milik Bumiputera, manakala 57 peratus lagi dikuasai bukan Bumiputera,” jelasnya.
​Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat Melayu tidak terus berpecah sebaliknya bertekad untuk menjadi ‘bangsa usahawan’ bagi memperkasakan ekonom,” katanya.
​Pada majlis berkenaan, Ahmad turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi menganjurkan dua kursus keusahawanan dan pemasaran digital kendalian Pertubuhan Pewaris Malaysia (Pewaris) untuk membimbing usahawan baharu.










