JAKARTA: Hubungan antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan tidak terjejas susulan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua parti dalam kerajaan terus mengutamakan profesionalisme ketika menguruskan pentadbiran negara, dengan setiap keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, perbezaan latar belakang politik tidak menghalang anggota Kabinet daripada mengekalkan hubungan kerja dan peribadi yang baik.
“Hubungan tetap baik dan biarpun kami ahli-ahli politik, tetapi dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, kita bertindak secara profesional.
“Semua keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri adalah keputusan yang dibuat secara kolektif,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, hubungan peribadi antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan juga kekal baik, selain prinsip ketatasusilaan terus dijunjung sepanjang mereka bersama dalam kerajaan.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan keputusan berkenaan dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Pengampunan bersyarat itu bagaimanapun tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat lain yang ditetapkan.
Mengulas keputusan berkenaan, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu dilihat berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, aspek perundangan sememangnya menjadi antara panduan dalam pertimbangan terhadap keputusan pengampunan berkenaan.
“Apa yang diputuskan Lembaga Pengampunan, yang diputuskan Yang di-Pertuan Agong adalah keputusan yang terikat dengan beberapa klausa di dalam Perlembagaan Malaysia.
“Jika mana-mana pihak mempertikaikan keputusan Tuanku Agong, ertinya ia tidak selari dengan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid menegaskan UMNO dan BN kekal dengan pendirian bahawa setiap pihak perlu menghormati serta mematuhi undang-undang, selaras dengan pendirian yang pernah dinyatakannya sebelum ini.










