Status Kes 1MDB Najib Kekal, Pengampunan Tidak Beri Kesan – SPRM

KAJANG: Pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak mengubah perjalanan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang masih dalam proses undang-undang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, menegaskan semua kes tertangguh membabitkan bekas Perdana Menteri itu kekal pada status sedia ada.

Katanya, setiap kes dikendalikan secara berasingan berdasarkan skop siasatan, dakwaan dan isu khusus yang terlibat.

“Setakat yang kita lihat, kes yang masih tertangguh kekal seperti sedia ada. Buat masa ini, status quo masih kekal,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberi kesan terhadap kes 1MDB dan proses rayuan yang sedang berjalan.

Abd Halim menegaskan sesuatu kes tidak boleh disamakan dengan kes lain kerana setiap siasatan tertumpu kepada isu serta perkara tertentu yang menjadi asas siasatan atau aduan.

Semalam, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antara lain kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 di Istana Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menegaskan semua kes rasuah yang masih berjalan, termasuk membabitkan Najib, perlu diteruskan mengikut proses dan landasan undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles