​BERSATU Desak Kerajaan Beri Penjelasan Terperinci Isu Tahanan Rumah Najib

​KUALA LUMPUR: BERSATU menegaskan pendirian konsistennya dalam menentang kleptokrasi, rasuah, dan salah guna kuasa, sambil menggesa kerajaan agar membentangkan kerangka undang-undang serta kriteria yang jelas berhubung pelaksanaan tahanan di rumah bagi Datuk Seri Najib Razak.

​Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyatakan bahawa parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip negara hukum dan keadilan yang saksama tanpa mengira darjat atau pangkat.

​Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa BERSATU tetap menghormati Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan pengampunan, penundaan, atau pengurangan hukuman kepada banduan yang layak melalui saluran undang-undang.

​”Namun, dalam masa yang sama, BERSATU memahami kemusykilan yang timbul dalam kalangan rakyat mengenai prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

“Rakyat berhak mendapat keyakinan bahawa kedudukan, pengaruh atau latar belakang seseorang tidak mewujudkan piawaian pelaksanaan hukuman yang berbeza berbanding rakyat biasa,” ujar Azmin menerusi kenyataan media pada Sabtu.

​Justeru katanya, BERSATU berpandangan kerajaan wajar menjelaskan tatacara dan kriteria terperinci pelaksanaan tahanan di rumah agar keistimewaan yang sama turut boleh dipertimbangkan secara adil kepada banduan lain yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan persepsi wujudnya layanan berbeza antara golongan bangsawan atau berpengaruh dengan rakyat marhaen.

​”Bagi menjamin ketelusan dalam pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan, BERSATU mendesak supaya semua syarat yang dikenakan ke atas Najib Razak, termasuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, dinyatakan secara terperinci dan diumumkan kepada rakyat,” tegas beliau.

​Menurut Azmin lagi, pendedahan secara terbuka ini amat penting bagi mengelakkan sebarang keresahan atau kemarahan awam yang dikhuatiri boleh menggugat integriti badan kehakiman serta keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

BBerkaitan

Latest articles