KUALA LUMPUR: UMNO melihat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai perkembangan yang diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan berkenaan diharap mampu menjadi antara faktor positif yang mengukuhkan kedudukan UMNO dalam landskap politik semasa.
“Saya harap sebegitu, menjadi faktor nilai tambah kepada geopolitik yang sedang berada di persada halaman politik ataupun landskap politik di negara kita, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Halal 20 kelima, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, sekali gus membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Pengampunan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh tahanan di rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid berkata beliau telah memberikan mandat kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana gabungan parti politik sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRN Melaka.
Katanya, senarai calon BN pula akan dikemukakan oleh BN Melaka untuk diteliti berdasarkan laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak.
Beliau berkata wakil rakyat sedia ada yang menunjukkan prestasi baik juga seboleh-bolehnya akan dikekalkan bagi memastikan kesinambungan khidmat kepada rakyat.
“ Kita mempunyai prinsip WALI, ‘winnable, acceptable and likeable candidate’, supaya boleh menang, memihak kepada gelombang biru yang sedang melanda di seluruh negara bermula di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memenangi lima kerusi dan PN memperoleh dua kerusi.










