MIC, MCA Junjung Kasih Agong, Sambut Pengampunan Bersyarat Najib

KUALA LUMPUR: Pemimpin MIC dan MCA menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan yang menggembirakan, selain menegaskan sumbangan Najib ketika menerajui negara tidak wajar dinafikan, khususnya kepada masyarakat India.

Menurutnya, sepanjang menjadi Perdana Menteri, Najib melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada negara.

Saravanan berkata, meskipun terdapat kekurangan, Najib sudah menjalani hukuman penjara selama beberapa tahun dan berpendapat beliau wajar meneruskan baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, menzahirkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda dan menegaskan bahawa keputusan mahkamah serta proses pengampunan adalah dua perkara berbeza dalam kerangka perundangan negara.

Katanya, menghormati keputusan Lembaga Pengampunan tidak bermakna menolak atau menafikan keputusan mahkamah, begitu juga menghormati keputusan mahkamah tidak bererti mempersoalkan kuasa pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan.

“Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada sistem perundangan dan Perlembagaan negara yang perlu dihormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada mesyuarat kali ke-64 hari ini memutuskan Najib boleh menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

Sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan berkenaan terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara serta-merta.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pada 2024, hukuman penjara beliau dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles