Tahanan Rumah Najib Tidak Ubah Pendirian Kerajaan Perangi Rasuah

PUTRAJAYA: Keputusan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah tidak akan mengubah pendirian kerajaan dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan prinsip negara hukum kekal menjadi asas pentadbiran kerajaan, malah semua kes rasuah yang masih berjalan, termasuk yang membabitkan bekas Perdana Menteri itu, perlu diteruskan mengikut proses undang-undang.

Menurut Anwar, keputusan mengenai pengampunan merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dan perlu diterima dengan baik.

“Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik.

“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat. Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.

Anwar turut menegaskan tindakan terhadap kesalahan rasuah tidak terhenti susulan keputusan pengampunan berkenaan.

Beliau berkata, kes-kes yang masih dalam proses perundangan hendaklah terus berjalan tanpa menjejaskan prinsip kerajaan dalam menegakkan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara hari ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa pengampunan berkenaan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Sekiranya Najib melanggar mana-mana syarat berkenaan, pengampunan tersebut terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman penjara serta-merta.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles