Isu Najib: DAP Bincang Tindakan Susulan Dalam Mesyuarat Khas CEC Esok

​KUALA LUMPUR: DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) esok bagi membincangkan dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti berhubung isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak dan perkembangan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

​Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sabitan terhadap Najib dalam kes penyelewengan 1MDB, yang disifatkan sebagai skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara, merupakan keputusan mahkamah yang telah diputuskan dan kesannya terhadap negara tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

​”Kesan kewangan penyelewengan tersebut masih ditanggung oleh negara dan rakyat sehingga hari ini.

“Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada 13 September 2026, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar oleh kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

​Menurutnya lagi, DAP sejak dari awal sentiasa konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti, serta memperjuangkan agar penyelewengan ini disiasat secara menyeluruh supaya pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan melalui proses undang-undang yang bebas dan adil.

​Tambahnya, DAP turut mengingatkan bahawa kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB merupakan antara faktor utama yang membawa kepada perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, di mana amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan utama parti.

​Mengulas mengenai kedudukan pemimpin di peringkat jemaah menteri, DAP memaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan parti ketika menjalankan tanggungjawab beliau sebagai anggota Lembaga Pengampunan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.

​Dalam masa yang sama, DAP menegaskan pendirian parti untuk terus menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, Keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, serta komitmen menentang rasuah.

​”Sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti berhubung isu ini,” menurut kenyataan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles