KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh sekadar berdiam diri berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah, sebaliknya perlu tampil memberikan penjelasan kepada rakyat.
Gesaan itu dibuat pemimpin Parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mahu syarat-syarat dikenakan terhadap Najib didedahkan secara terperinci bagi memastikan pelaksanaan keputusan berkenaan dapat dipantau dan sebarang pelanggaran boleh diambil tindakan.
Menurut beliau, penjelasan itu penting supaya kerajaan tidak hanya mengulangi alasan bahawa perkara berkenaan berada di luar kawalan mereka.
“Paling kurang, Perdana Menteri perlu mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci supaya jika ada pelanggaran yang nyata, tindakan boleh diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan politik, sebaliknya menyentuh tanggungjawab kerajaan kepada rakyat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau mendakwa Anwar turut memperoleh manfaat politik daripada isu 1MDB, sedangkan menurutnya, perjuangan membongkar skandal itu turut digerakkan oleh penjawat awam, pengamal media dan aktivis yang sanggup berdepan risiko.
“Di kemuncak pertembungan skandal 1MDB antara tahun 2015 hingga 2018, Perdana Menteri berada di penjara.
“Tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat bersabit 1MDB digalas oleh rakyat biasa dalam kalangan penjawat awam, media dan aktivis. Ramai daripada mereka ini tidak bernama,” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi menyeru rakyat yang mengambil berat mengenai isu 1MDB supaya terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ masyarakat bagi memastikan keputusan tahanan di rumah dilaksanakan mengikut syarat yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memastikan integriti dalam pentadbiran negara tidak seharusnya terhenti, termasuk dengan mendidik generasi muda mengenai kesan skandal 1MDB dan kepentingan amanah dalam pemerintahan.
“Kepada Datuk Seri Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka daripada skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Rafizi berkata beliau menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka dan berpandangan pelaksanaan tahanan di rumah sebaik-baiknya dilakukan secara tenang bagi mengelakkan timbulnya reaksi yang tidak diingini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64 hari ini.
Keputusan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.
BHEUU turut menegaskan sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan bersyarat itu terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara serta-merta.










