UMNO Syukur Keputusan Tahanan Rumah Najib, Lancar Tabung Sumbangan RM50 Juta

KUALA LUMPUR: UMNO menyambut penuh kesyukuran keputusan membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu amat bermakna buat Najib, keluarga serta seluruh warga UMNO yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa.

Beliau berkata, UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda serta menzahirkan setulus penghargaan atas limpah ihsan yang diberikan.

“Dengan penuh takzim, saya bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan segala kerendahan hati, UMNO menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas perkembangan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berkenaan melalui saluran yang ditetapkan dengan penuh tertib dan rendah hati.

Katanya, penghormatan terhadap institusi Raja, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan parti.

Dalam perkembangan sama, UMNO mengambil inisiatif melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan sebagai antara syarat pengampunan bersyarat berkenaan.

Keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hari ini membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

Ahmad Zahid berkata, kutipan berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan teratur, selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“UMNO menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela melalui satu inisiatif yang akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru seluruh ahli UMNO supaya menyambut perkembangan itu dengan rasa syukur, selain menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.

“Limpah ihsan Tuanku membawa kelegaan yang amat besar buat Dato’ Sri Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Yang di-Pertuan Agong serta memelihara keamanan dan keharmonian negara.

BBerkaitan

Latest articles