KUALA LUMPUR: Kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta dan Kompleks Penjara Kajang menjadi tumpuan pengamal media sejak awal pagi ini susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang bersidang bagi membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu.
Suasana di luar Penjara Kajang turut menyaksikan petugas media membuat laporan secara langsung bagi mengikuti perkembangan bekas pemimpin berusia 73 tahun terbabit yang sedang menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022.
Terdahulu, mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya itu diadakan di Istana Negara dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mesyuarat hari ini diadakan bagi membincangkan permohonan pengampunan Najib yang sebelum ini dilaporkan ditangguhkan pada 11 September lalu.
Antara yang hadir menyertai mesyuarat berkenaan sebagai anggota lembaga ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Kenderaan rasmi yang membawa Hannah dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada jam 7.45 pagi, manakala kenderaan yang membawa Mohd Dusuki tiba tujuh minit kemudian pada jam 7.52 pagi.
Meskipun tumpuan media meluas di Jalan Langgak Duta, Penjara Kajang dan Istana Negara, keadaan di pintu utama istana dilaporkan berada dalam keadaan tenang setakat ini sementara pengamal media terus setia menantikan keputusan rasmi.










