Kuala Lumpur – Pemuda MCA menggesa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengatur pemeriksaan kesihatan menyeluruh serta bebas terhadap tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong, berkata laporan dan pemerhatian terkini mengenai keadaan fizikal Kelat, khususnya dakwaan kehilangan berat badan yang ketara, membimbangkan dan memerlukan pengesahan segera.
Menurutnya, pasukan veterinar Malaysia yang berkelayakan perlu dihantar ke zoo berkenaan dalam tempoh 14 hari dengan akses penuh kepada ketiga-tiga gajah serta rekod kebajikan berkaitan.
“Keadaan kesihatan dan kebajikan DAK mesti dipastikan melalui bukti bebas, ketelusan dan penilaian veterinar profesional,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan itu perlu merangkumi berat dan keadaan tubuh, kulit, mata, kaki serta kuku, selain perbandingan dengan rekod kesihatan terdahulu bagi mengenal pasti sebarang kemerosotan, terutama membabitkan Kelat.
Neow turut mencadangkan ujian darah lengkap, penilaian kortisol atau petunjuk tekanan lain yang bersesuaian serta saringan parasit, mengikut pertimbangan perubatan veterinar.
Katanya, penilaian itu penting bagi menentukan sama ada perubahan yang dilaporkan pada Kelat berkaitan dengan fasa musth atau berpunca daripada masalah kesihatan mahupun tekanan kronik yang memerlukan tindakan lanjut.
Selain pemeriksaan fizikal, beliau menggesa penilaian bebas terhadap persekitaran penjagaan DAK, termasuk keluasan dan reka bentuk kandang, permukaan lantai, pengayaan persekitaran, diet harian, penjagaan veterinar serta kekerapan dan tempoh pengasingan.
Sebarang amalan pengasingan berpanjangan atau berulang, katanya, perlu direkodkan dan mempunyai justifikasi perubatan.
Pemuda MCA turut meminta hasil pemeriksaan, termasuk keputusan makmal, laporan veterinar, rekod berat badan dan dokumentasi video yang bersesuaian, didedahkan kepada umum, tertakluk kepada pertimbangan veterinar serta privasi yang sah.
Neow berkata, dapatan itu juga wajar disemak pakar kebajikan gajah antarabangsa yang bebas.
Dalam pada itu, beliau menggesa MPT dan NRES mendedahkan serta menyemak perjanjian penempatan antara Zoo Taiping & Night Safari dengan Zoo Tennoji, khususnya peruntukan kebajikan, pemantauan, penghantaran pulang dan penamatan perjanjian.
Menurutnya, mekanisme bersesuaian untuk membawa pulang DAK perlu diaktifkan sekiranya Zoo Tennoji gagal memberikan jaminan serta akses yang mem










