​Isu Fitnah Ajaran New Age: Pejabat Timbalan Menteri Agama Kemuka Tuntutan 24 Jam Permohonan Maaf

​PUTRAJAYA: Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan sekeras-kerasnya penyebaran kandungan tular yang mengaitkan Senator Marhamah Rosli dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age.

Pejabat Timbalan Menteri menegaskan bahawa tangkap layar hantaran bertarikh 20 September 2019 yang disebarkan semula itu dibuat khusus dalam konteks pembangunan insan (human development).

​”Ia bukan sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran atau amalan individu berkenaan.

​”Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu berkenaan.

“Beliau juga tidak pernah mengiktiraf individu tersebut sebagai guru atau mengajar, mempromosi mahupun menyebarkan amalan perdukunan, sihir, azimat atau ajaran New Age,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

​Menurut kenyataan itu lagi, pihak pejabat turut memandang serius tindakan mengunting atau mencantumkan (edit) tangkap layar hantaran lama berkenaan dengan video-video lain yang tidak diketahui kewujudannya okeh Marhamah.

​Tindakan tersebut disifatkan mewujudkan gambaran tidak benar seolah-olah kandungan berkenaan merupakan sebahagian daripada rujukan atau amalan beliau.

​”Prinsipnya jelas berdasarkan kaedah Al-bayyinatu ‘ala al-mudda’i iaitu ‘bukti adalah atas pihak yang mendakwa’.

​”Sehubungan itu, mana-mana pihak yang membuat dakwaan tersebut hendaklah mengemukakan bukti berdasarkan perkataan atau perbuatan Marhamah sendiri, bukan melalui cantuman kandungan pihak lain dengan satu tangkap layar lama,” jelas kenyataan tersebut.

​Susulan itu, Pejabat Timbalan Menteri menuntut pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan tanpa bukti berkenaan untuk mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam daripada penerbitan kenyataan media tersebut untuk menarik balik dan memadamkan penerbitan berkenaan; dan menghentikan penyebaran lanjut serta membuat permohonan maaf serta pembetulan secara terbuka melalui platform yang sama.

​”Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perkara ini dirujuk untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya, tertakluk kepada nasihat undang-undang.

​”Semua pihak diseru supaya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan tidak membina kesimpulan berdasarkan bahan yang dipetik di luar konteks,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles