Tuanku Muhriz Hargai Sokongan Rakyat, Kembali Ke N.Sembilan Selesaikan Kemelut

SEPANG: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diterima susulan kemelut politik dan perlembagaan yang melanda negeri itu.

Baginda bertitah, sokongan berkenaan menjadi dorongan untuk baginda kembali ke Negeri Sembilan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Terima kasih atas sokongan yang kuat. Saya akan balik istana, mana lagi saya nak balik.

“Saya balik nak selesaikan masalah ini, insya-Allah terima kasih semua,” titah baginda ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam ini.

Kemelut berkenaan tercetus susulan tindakan dan pengumuman berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, yang kini turut menjadi pertikaian dari sudut perlembagaan dan undang-undang.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini menegaskan pengumuman Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan berhubung penurunan takhta baginda tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

AGC berkata, MMKN tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) untuk membuat pengumuman tersebut.

Perkembangan itu turut menyaksikan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menolak keputusan MMKN berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Berita lanjut menyusul.

BBerkaitan

Latest articles