Setiausaha DKU Negeri Sembilan Ditamatkan Perkhidmatan Serta-merta

SEREMBAN: Perkhidmatan Raja Norazli Raja Nordin sebagai Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan ditamatkan berkuat kuasa hari ini, menurut warkah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Keputusan itu dibuat menerusi kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 25 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam warkah berkenaan, baginda menitahkan Raja Norazli supaya serta-merta menghentikan segala fungsi dan tugasnya sebagai Setiausaha DKU, termasuk membuat sebarang representasi rasmi bagi pihak badan berkenaan.

“Susulan penamatan tersebut, Raja Norazli dititahkan serta-merta untuk berhenti menjalankan apa-apa fungsi, tugas dan membuat sebarang representasi rasmi atas nama DKU,” titah baginda.

Sehubungan itu, Raja Norazli turut diarahkan menyerahkan semua dokumen rasmi DKU, termasuk fail sulit, minit mesyuarat, kod akses pejabat serta apa-apa harta milik badan berkenaan.

Beliau juga dititahkan mengosongkan Pejabat Setiausaha DKU susulan keputusan tersebut.

Dalam pada itu, warkah berkenaan menegaskan bahawa penamatan perkhidmatan itu tidak menjejaskan hak Tuanku mahupun DKU untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan wajar berhubung tindak-tanduk Raja Norazli sepanjang menjalankan tugas atau membawa diri sebagai Setiausaha DKU.

Perkembangan itu berlaku ketika kedudukan institusi diraja dan isu pentadbiran Negeri Sembilan menjadi perhatian susulan pertikaian berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar negeri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles