Subsidi Bil Elektrik Dipeluas Hingga 800 kWj Bantu Kurangkan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik dengan memperluaskan tahap perlindungan daripada 600 kilowatt jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan berkuat kuasa mulai September hingga 31 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat ketika ini.

Menurut beliau, menerusi perlindungan baharu itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan menikmati pelbagai pengecualian caj.

“Pengguna dalam kategori ini akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Keadaan jerebu serta cuaca panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan melepasi paras 600 kWj dan mencetuskan kenaikan bil yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) atas peranan menjayakan langkah berkenaan secara segera.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa.

Langkah itu, ujarnya, bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat, keterjaminan bekalan dan kemampanan sektor tenaga negara.

BBerkaitan

Latest articles