Krisis Adat: Pemuda Wawasan Selar AMK, Gesa Tindakan Tegas

SEREMBAN: Pemuda Wawasan Negeri Sembilan mengecam keras kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan yang mendakwa tindakan Menteri Besar dan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri menyokong proklamasi turun tahta DYMM Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai tindakan menderhaka.

Pemuda Wawasan Negeri Sembilan, Alif Asyraf Azman berkata, kenyataan dikeluarkan AMK negeri itu bersifat gelojoh dan berunsur polititk.

Menurutnya, dakwaan tersebut dilihat sekadar percubaan untuk melarikan beban kesilapan politik mantan Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menjadi punca krisis adat di negeri berkenaan tercetus.

“Sudah pasti Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim bersama barisan Exco Kerajaan Negeri telah membuat keputusan munasabah mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

“Tuduhan melulu AMK Negeri Sembilan yang cuba mewujudkan persepsi awam bahawa Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan Negeri sebagai pengkhianat adalah suatu tindakan gopoh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Alif Asyraf menegaskan Pemuda Wawasan Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Ismail.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa agar memulakan langkah tegas dan serius terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak AMK Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa syukur atas penyelesaian kemelut adat yang melanda negeri tersebut demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan.

“Pemuda Wawasan Negeri Sembilan menadah rasa kesyukuran kerana kemelut adat Negeri Sembilan telah dapat diselesaikan dengan penuh bijaksana oleh semua pihak yang terlibat demi kestabilan negeri,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles