Aminuddin Gesa Kepimpinan N. Sembilan Kekal Dengan Pendirian

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Negeri Sembilan perlu berhenti mengeluarkan pendirian yang bercanggah dan memastikan setiap keputusan berkaitan pentadbiran negeri dibuat secara jelas serta konsisten.

Itu penegasan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, ketika mengulas kemelut yang kini melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut Aminuddin, perubahan pendirian dalam tempoh singkat hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan, khususnya apabila ia membabitkan perkara berkaitan institusi diraja.

Beliau menerusi hantaran di Threads berkata, kepimpinan negeri perlu memahami bahawa tanggungjawab mengurus sebuah kerajaan tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa atau mengikut tekanan semasa.

“Jangan ulang perkara yang sama. Hari ini cakap lain, esok berubah pula. Kita tidak boleh terus berada dalam keadaan tanpa pendirian yang jelas.

“Ini bukan mengurus kedai runcit, tetapi mentadbir sebuah negeri. Pendirian mesti jelas,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika wujud perbezaan pendirian antara kerajaan negeri dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) mengenai status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dilaporkan memutuskan bahawa proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah.

Keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar turut diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

MMKN kemudian mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri mengambil tindakan berkaitan proses pewartaan proklamasi tersebut berdasarkan peraturan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, DKU mengambil pendirian berbeza apabila menegaskan Tuanku Muhriz masih memegang kedudukan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

DKU turut menyatakan tiada kekosongan jawatan berkenaan selagi kedudukan Tuanku Muhriz masih sah menurut peruntukan undang-undang dan adat Negeri Sembilan.

Dalam hantaran sama, Aminuddin mengingatkan pemimpin supaya tidak membiarkan tekanan pihak tertentu mempengaruhi keputusan yang dibuat ketika menjalankan amanah.

“Jangan takut dengan manusia dan jangan mudah ditekan. Yang perlu ditakuti ialah soal kejujuran kita kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar kemelut yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik demi memastikan keamanan, kemakmuran dan kemajuan Negeri Sembilan terus terpelihara.

Kemelut mengenai kedudukan Tuanku Muhriz tercetus selepas Ismail pada 9 September lalu mendedahkan bahawa beliau menandatangani satu instrumen proklamasi dalam keadaan didakwa berada di bawah tekanan dan bertentangan dengan kehendaknya.

Ismail ketika itu turut menyatakan pendirian bahawa dokumen berkenaan tidak melalui proses serta tatacara yang ditetapkan menerusi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Susulan itu, instrumen berkenaan dikatakan tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu selepas Pilihan Raya Negeri ke-16, menggantikan Aminuddin.

Perkembangan terbaharu pula menyaksikan DKU mempertikaikan keputusan MMKN berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz serta menegaskan perkara itu perlu ditentukan berdasarkan adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Aminuddin sebelum ini turut menyatakan bahawa MMKN tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, dengan merujuk kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

BBerkaitan

Latest articles