SEREMBAN: Negeri Sembilan memerlukan pendekatan baharu dalam pentadbiran yang bukan sahaja menangani keperluan semasa, malah membina asas kukuh bagi menghadapi cabaran masa depan.
Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Siow Kong Choon, berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi NS360 – Connected, Digital & Sustainable State, yang menggariskan usaha menjadikan negeri itu lebih stabil, maju dan makmur melalui pentadbiran cekap, berintegriti serta dekat dengan rakyat.
Beliau berkata, NS360 berteraskan empat fokus utama, iaitu memperkukuh kestabilan kewangan dan integriti, mentransformasikan budaya kerja pihak berkuasa tempatan (PBT), memperkasa sektor pelancongan serta menubuhkan Think Tank PBT Negeri Sembilan.
“Pertama, kita mahu memperkukuh kestabilan kewangan dan integriti melalui pengurusan hasil, tunggakan, perbelanjaan dan tadbir urus yang lebih telus serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata, budaya kerja PBT juga perlu ditransformasikan supaya lebih pantas, cekap, responsif dan berorientasikan penyelesaian, sekali gus mengurangkan birokrasi yang boleh melambatkan urusan rakyat.
Bagi sektor pelancongan pula, Siow berkata perhatian menyeluruh perlu diberikan kepada aspek kebersihan, keceriaan, landskap, promosi serta pengalaman pelancong, khususnya menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan.
“Keempat, kita mencadangkan penubuhan Think Tank PBT Negeri Sembilan sebagai wadah menghimpunkan kepakaran, idea dan inovasi bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran hasil, kos, teknologi dan pentadbiran,” katanya.
Menurut beliau, matlamat utama NS360 adalah memastikan setiap pembaharuan yang dilaksanakan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“NS360 bukan sekadar slogan. Ia adalah komitmen untuk membina pentadbiran yang lebih moden, cekap dan lestari demi Negeri Sembilan hari ini dan generasi akan datang,” katanya.










