Puteri UMNO Gesa Hentikan Kenyataan Politik Berhubung Pengampunan Najib

PUTRAJAYA: Pergerakan Puteri UMNO menggesa semua pihak menghentikan kenyataan politik berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak sehingga proses perlembagaan berkenaan selesai.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata ruang perlu diberikan kepada Lembaga Pengampunan untuk menjalankan tanggungjawabnya tanpa tekanan, spekulasi atau campur tangan politik.

Menurutnya, permohonan pengampunan melalui saluran sah merupakan hak Najib, sebagaimana diperuntukkan kepada mana-mana individu di sisi undang-undang.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat menerusi proses perlembagaan perlu diterima dan dihormati semua pihak tanpa prejudis, termasuk sekiranya seseorang diberikan pengampunan.

“Namun, apabila Najib memohon pertimbangan melalui saluran sah, ada pihak tergesa-gesa mahu menutup ruang itu sebelum prosesnya selesai.

“Kami tidak meminta mana-mana parti politik menentukan keputusan pengampunan ini. Justeru, mana-mana parti politik tidak seharusnya mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dengan keputusan atau hukuman politik mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Amal berkata, institusi dan peruntukan Perlembagaan berkaitan pengampunan perlu dihormati tanpa mengira pemimpin atau parti politik yang terlibat.

Katanya, kuasa prerogatif pengampunan diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disamakan dengan penafian terhadap proses kehakiman.

“Kuasa prerogatif pengampunan diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukan penafian terhadap proses kehakiman.

“Ia mekanisme tertinggi Perlembagaan berteraskan ihsan untuk mengimbangi neraca keadilan apabila terdapat keadaan yang wajar diberikan pertimbangan,” katanya.

Beliau menegaskan sebarang percubaan untuk menentukan keputusan sebelum semua pertimbangan selesai adalah tidak wajar.

Media sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 11 September lalu.

Sehubungan itu, Nurul Amal mengulangi gesaan supaya proses berkenaan diberikan ruang untuk berjalan secara tertib, tanpa tekanan politik atau kenyataan yang boleh mempengaruhi persepsi awam sebelum keputusan dibuat.

BBerkaitan

Latest articles