KEMASKINI: Ismail Pertahan Keputusan Exco Mengenai Kedudukan Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meneruskan pendirian berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan keputusan itu mendapat sokongan penuh semua ahli exco.

Ismail berkata perkara berkenaan diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat exco pada 15 September lalu, sebelum Setiausaha Kerajaan Negeri diarahkan mengambil langkah seterusnya bagi mewartakan proklamasi tersebut.

“Proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan semua ahli exco kerajaan negeri secara sebulat suara pada mesyuarat exco 15 Sept lalu,” katanya kepada pemberita di Negeri Sembilan.

Beliau bagaimanapun tidak menerima soalan daripada media selepas memberikan pengesahan itu.

Kenyataan Ismail hadir sehari selepas exco Negeri Sembilan mengumumkan bahawa proklamasi 19 April berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah.

Dalam kenyataan itu, kerajaan negeri turut mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Exco mendakwa dokumen berkenaan telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah serta mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Pendirian kerajaan negeri itu bagaimanapun ditolak Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.

Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, menegaskan keputusan exco tidak membawa sebarang kesan dari segi undang-undang kerana urusan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar bukan dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) meletakkan hal berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang, di bawah bidang kuasa DKU.

Raja Norazli turut menegaskan pegawai kerajaan negeri tidak perlu melaksanakan arahan untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta sekiranya arahan itu bercanggah dengan UUTKNS dan ketetapan dewan.

BBerkaitan

Latest articles