DKU: Keputusan Exco Turunkan Tuanku Muhriz Tak Sah, Tiada Kesan Undang-undang

SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak mempunyai kesan undang-undang kerana perkara itu berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, berkata urusan berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang, adalah bidang kuasa DKU seperti diperuntukkan dalam Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Sehubungan itu, beliau menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah selain terus memegang jawatan Yang Dipertua DKU.

“Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pendirian exco Negeri Sembilan semalam bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz pada April lalu adalah sah, manakala Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar kini merupakan Yang Dipertuan Besar negeri berkenaan.

Exco turut mendakwa proklamasi bertarikh 19 April yang ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah masih berkuat kuasa.

Bagaimanapun, Raja Norazli menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi berkenaan atau mengubah kedudukan Yang Dipertuan Besar.

Menurutnya, keputusan exco itu tidak membawa sebarang kesan sekiranya tujuannya adalah untuk mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan pemerintah baharu serta mengarahkan pelaksanaannya serta-merta.

“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.

Dalam pada itu, DKU menyambut baik pendirian Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, pada 15 September lalu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.

Raja Norazli berkata pandangan Ismail bahawa kesahan dan kesan sesuatu proklamasi perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk penentuan kehakiman, adalah selaras dengan peruntukan UUTKNS.

Beliau bagaimanapun menegaskan proklamasi 19 April yang didakwa menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta masih mempunyai kecacatan asas dan terbatal.

Katanya, tiada siasatan di bawah Perkara X(1) UUTKNS pernah dijalankan, selain tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi itu didakwa tidak memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan.

“Keengganan menteri besar (Aminuddin Harun) ketika itu untuk menandatangani proklamasi berkenaan juga bermakna fungsi di bawah Perkara X(2) telah dilaksanakan, menyebabkan dokumen itu luput dan terbatal.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut,” katanya.

Raja Norazli turut menjelaskan sebarang proklamasi bagi memilih Yang Dipertuan Besar baharu yang berasaskan dokumen sama serta ditandatangani individu yang tidak memegang jawatan Undang secara sah, tidak mempunyai kesan undang-undang.

Beliau berkata kuasa dan hak istimewa Undang Yang Empat hanya boleh dilaksanakan oleh pemegang jawatan yang sah serta mengikut syarat dan prosedur ditetapkan UUTKNS.

Susulan itu, DKU menegaskan pegawai kerajaan negeri tidak diwajibkan melaksanakan sebarang arahan untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta kerana tindakan tersebut bercanggah dengan UUTKNS dan ketetapan dewan.

BBerkaitan

Latest articles