KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Negeri Sembilan mengisytiharkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilucutkan jawatan Yang Dipertuan Besar dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu didakwa sebagai cubaan menggulingkan institusi diraja negeri itu.
Dakwaan tersebut dikemukakan peguam Tuanku Muhriz daripada firma Halim & Ismail menerusi surat kepada pihak terbabit, susulan pengumuman ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mengenai status pemerintahan Negeri Sembilan.
Peguam berkenaan berkata anak guam mereka terkejut dengan pengumuman itu dan mempertikaikan bidang kuasa exco untuk membuat pengisytiharan sedemikian.
Menurut mereka, exco tidak mempunyai kuasa atau autoriti untuk melucutkan jawatan Yang Dipertuan Besar, sekali gus menjadikan pengumuman berkenaan tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
“Anak guam kami berpandangan bahawa tindakan anda mengeluarkan pengumuman itu bertujuan menggugat kuasa eksekutif Tuanku Muhriz… dan seterusnya bertujuan menggulingkan serta menurunkan takhta,” kata peguam berkenaan.
Dalam surat sama, peguam itu menyifatkan tindakan kerajaan negeri berkenaan sebagai menyamai rampasan kuasa dan perbuatan menderhaka yang boleh dikenakan tindakan mengikut Kanun Keseksaan serta undang-undang berkaitan.
Mereka turut mendakwa pengumuman tersebut melanggar perintah injunksi interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 5 Jun lalu.
Menurut peguam, pelanggaran perintah berkenaan menjadi antara asas mahkamah memberikan kebenaran pada 8 Julai untuk prosiding menghina mahkamah dimulakan.
“Anak guam kami bercadang memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap anda atas pelanggaran perintah injunksi seperti dinyatakan di atas,” kata mereka.
Surat itu dikeluarkan sehari selepas exco Negeri Sembilan mengumumkan bahawa proklamasi bertarikh 19 April yang melucutkan jawatan Tuanku Muhriz adalah sah.
Dalam pengumuman berkenaan, exco turut menyatakan Tuanku Nadzaruddin ialah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Exco mendakwa proklamasi itu dibuat mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan telah ditandatangani serta dimeterai oleh Undang Yang Empat yang sah.
Menurut kenyataan itu, proklamasi berkenaan kemudiannya ditandatangani Ismail pada 3 Ogos, sekali gus melengkapkan proses seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10(2).
Bagaimanapun, peguam Tuanku Muhriz mempersoalkan sama ada Ismail menyokong pengumuman terbaharu exco berkenaan.
Mereka turut membangkitkan persoalan mengenai asas kenyataan itu yang hanya ditandatangani atas nama “barisan ahli exco Negeri Sembilan”.










