​BUDI Diesel: Kerajaan Benar Pindah Kelayakan, Tambah Kuota Kenderaan – PM

​KUCHING: Kerajaan bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan program bantuan bersasar BUDI Diesel dengan membenarkan pemindahan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak serta membenarkan pemilikan lebih daripada satu kenderaan.

​Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel kini tidak lagi terbatas kepada ahli keluarga terdekat sahaja, sebaliknya diperluas berdasarkan rayuan dan keperluan rakyat.

​Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel kini dibenarkan memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan sehingga maksimum tiga kenderaan.

​”Ini berdasarkan rayuan. Kedua, pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel dibenar memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan terhadap kepada maksimum tiga kenderaan. Ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching, malam tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

​Mengulas lanjut mengenai bebanan kos sara hidup, Anwar menegaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk tidak membebankan rakyat meskipun harga minyak dunia melonjak ekoran pergolakan geopolitik.

​Menurut beliau, harga minyak satu tong sedang meningkat daripada 70 dolar satu tong semasa Belanjawan tahun lalu kepada 102 dolar satu tong hari ini.

​”Namun, keputusan kerajaan dan keputusan Jemaah Menteri ialah untuk tidak membebankan rakyat. Maka kita kekalkan harga RON95 RM1.99, harga terendah di dunia,” jelasnya.

​Anwar menambah, kerajaan juga mendengar keluhan rakyat terutamanya pemilik kenderaan jenis pikap dan jip diesel di Sabah dan Sarawak dengan telah meningkatkan kuota diesel bersubsidi daripada 300 liter kepada 400 liter sebulan sebelum ini, sebelum ditambah baik lagi menerusi kelonggaran pemindahan kelayakan terbaharu itu.

BBerkaitan

Latest articles