Tambah Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: Kerajaan Sasar Sokongan Dua Pertiga

​KUCHING: Kerajaan Madani berharap cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak menerusi persempadanan semula akan mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen kelak.

​Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri secara prinsipnya telah bersetuju dengan penambahan kerusi berkenaan demi memastikan ratio perwakilan ahli Parlimen dari Borneo adalah lebih baik berbanding struktur sedia ada.

​Jelas beliau, keputusan tersebut diambil bagi menghormati Waad Nasional dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dimufakatkan oleh para pengasas negara terdahulu.

​”Jemaah Menteri bersetuju tentang penambahan kerusi Parlimen dalam penyusunan semula yang akan datang ini bertambah untuk Sabah dan Sarawak.

​”Namun pemimpin-pemimpin Sarawak dan Sabah ini pintar, mereka menyatakan kalau tambah di sini sama dengan penambahan di Semenanjung, itu bukan tambah ertinya.

​”Jadi mereka menambah perkataan biar rasionya, penyertaan ahli Parlimen Sabah dan Sarawak harus lebih baik daripada ratio yang ada sekarang. Itu saya setuju dan Jemaah Menteri setuju,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2026 yang berlangsung, malam tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

​Mengulas lanjut, Anwar memberitahu bahawa perincian mengenai jumlah kerusi kini sedang dirundingkan secara teliti bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

​”Cuma tentang kaedah beberapa jumlah secara terperinci itu sedang dirundingkan dan diputuskan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan akan dibentangkan di Parlimen, mudah-mudahan kita akan mendapat dua pertiga.

​”Yang penting ialah rationya itu harus bertambah. Ia mengambil masa hampir 60 tahun, tetapi kita syukur kita masih bertekad untuk melaksanakannya,” ujar beliau.

​Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan tuntutan MA63 bukanlah isu terpencil yang hanya perlu difikirkan oleh Sabah dan Sarawak, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab nasional yang wajib diselesaikan bersama oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk di Semenanjung.

​Beliau turut memuji komitmen serta kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak yang disifatkan berwibawa sehingga mampu menyumbang kembali kepada pembangunan negara.

​”Belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, kerajaan negeri boleh membayar RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan kerana pengurusan ekonomi itu cekap, kerana pimpinan itu berwibawa dan bertanggungjawab.

​”Sebab itu saya tegaskan, ini bukan soal Semenanjung lawan Sarawak atau Sabah lawan Semenanjung. Bila bicara tentang hub tenaga contohnya, saya menjadi jurucakap bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak kerana itu negeri saya dan tanggungjawab saya bersama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles