SEREMBAN: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan secara rasmi mengumumkan pengiktirafan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat secara kolektif dalam mesyuarat MMK Bilangan 6 Tahun 2026 yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim.
Menurut kenyataan media MMK, keputusan berkenaan dibuat susulan proklamasi bertarikh 19 April lalu berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir serta pemilihan Tunku Nadzaruddin.
MMK menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz menurut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.
Menurut kenyataan itu, proklamasi berkenaan turut ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu, yang menurut MMK menjadikan dokumen berkenaan sempurna berdasarkan Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
Dalam keputusan sama, MMK menyatakan proklamasi pemilihan Tunku Nadzaruddin menurut Perkara 11 UUTKNS 1959, juga bertarikh 19 April, telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah.
Justeru, MMK menyifatkan proklamasi pemilihan itu sebagai teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.
“Mesyuarat menjunjung tinggi ketetapan yang telah dibuat oleh YTM Undang Yang Empat dan menghormati prerogatif kuasa YTM Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat serta UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MMK mengumumkan secara rasmi bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta oleh Undang Yang Empat, manakala Tunku Nadzaruddin dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pentadbiran kerajaan negeri turut diarahkan mengambil langkah serta-merta bagi melaksanakan pengumuman berkenaan.
Perkembangan itu merupakan episod terbaharu dalam pertikaian institusi diraja Negeri Sembilan yang berlarutan sejak April lalu.
Pada 19 April, Undang Yang Empat mengeluarkan deklarasi menurunkan Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai pengganti. Pada Jun lalu, Tunku Nadzaruddin turut dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar oleh Undang Yang Empat. Bagaimanapun, ketika itu kerajaan Persekutuan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. (ISEAS Yusof Ishak Institute)
Keputusan terbaharu MMK itu sekali gus menandakan perubahan pendirian rasmi kerajaan negeri berhubung pertikaian berkenaan.










