Perpaduan PAS-UMNO Perlu Didahulukan, Soal Kerusi Boleh Dibincang Kemudian

ARAU: PAS dan UMNO perlu mengutamakan usaha memulihkan penyatuan kedua-dua parti berbanding menjadikan soal pembahagian kerusi pilihan raya sebagai penghalang kepada kerjasama politik.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, isu agihan kerusi bukan perkara besar yang wajar dipertikaikan sekiranya kedua-dua pihak mempunyai persefahaman dan kepercayaan yang kukuh.

Beliau berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada kepentingan bersama serta usaha membina perpaduan berasaskan prinsip perjuangan agama, bukannya kepentingan parti masing-masing.

“Isu kerusi hanya hal kecil, tidak perlu dijadikan pertikaian. Jangan asyik memikirkan kepentingan parti masing-masing sama ada PAS atau UMNO semata-mata.

“Fikirkan kembali bagaimana untuk kita bersatu atas kepentingan bersama berpandukan syariat dan petunjuk Allah SWT.

“Apabila kita sudah bersatu atas asas perjuangan agama, insya-Allah Tuhan akan mempermudah segala urusan termasuk soal agihan kerusi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini malam tadi.

Menurut Hashim, perkembangan hubungan antara kedua-dua parti ketika ini menunjukkan tanda positif, termasuk di peringkat kepemimpinan dan akar umbi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan usaha memperkukuh semula hubungan PAS-UMNO.

“Sekarang adalah masa kita bergerak ke arah matlamat bagi memperkukuh kembali perpaduan UMNO dengan PAS. Soal agihan kerusi dan PRN, kita boleh bincangkan kemudian.

“Saya melihat hubungan di peringkat kepemimpinan dan akar umbi juga semakin membaik, biarlah ia terus subur. Fikirlah perkara patut kita tambah untuk memperkemas jalinan perpaduan ini,” katanya.

Kenyataan Hashim itu hadir selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 Sabtu lalu, mencadangkan negeri di bawah gabungan SG4, khususnya Terengganu, mengadakan PRN.

Mohamad berkata langkah itu antara lain bagi menguji ‘keikhlasan’ PAS sebelum sebarang usaha menjalin semula kerjasama politik antara kedua-dua parti.

BBerkaitan

Latest articles