KUALA LUMPUR: Hannah Yeoh menegaskan beliau telah mengemukakan pendirian berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ketika Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September lalu, selepas meneliti pandangan bertulis Peguam Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, pandangan berkenaan disampaikan secara terbuka dan jujur berdasarkan tanggungjawabnya sebagai anggota Lembaga Pengampunan serta menteri yang mengendalikan hal ehwal Wilayah Persekutuan.
“Saya menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani (conscience) saya demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada Jumaat lalu.
Hannah turut menjelaskan bahawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa serta keputusan akhir berkaitan pengampunan berada pada Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, bidang kuasa itu termasuk keputusan untuk menangguhkan pertimbangan terhadap permohonan pengampunan seseorang.
“Tentunya, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Negara, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebelum ini dilaporkan turut membincangkan permohonan Najib berkaitan sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tujuh kesalahan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada Ogos 2022.
Pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara Najib sebanyak separuh, daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta.










