AGC Beri Penjelasan Berhubung Keputusan Tidak Teruskan Empat Pertuduhan Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Keputusan tidak meneruskan empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan transaksi RM200 juta dengan Bukhary Equity Sdn Bhd dibuat selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menilai secara menyeluruh kekuatan keterangan dan kebolehbuktian kes.

AGC dalam kenyataan berkata, penilaian profesional itu turut mengambil kira kepentingan keseluruhan prosiding pendakwaan yang sedang dihadapi Muhyiddin, termasuk risiko litigasi sekiranya empat pertuduhan berkenaan diteruskan.

Menurut AGC, antara risiko yang dikenal pasti adalah kemungkinan tindakan itu menjejaskan strategi pendakwaan dan pembuktian bagi tiga lagi pertuduhan yang masih dihadapi bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Dalam keadaan itu, pihak pendakwaan perlu melihat kepentingan keseluruhan kes dan bukannya mempertahankan satu pertuduhan secara terasing,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada semalam melepas dan membebaskan (DAA) Presiden Bersatu itu daripada satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta daripada Bukhary Equity.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Nurdin, membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memohon supaya Muhyiddin dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan terbabit.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu berkaitan dakwaan penerimaan RM200 juta daripada Bukhary Equity, manakala pertuduhan salah guna kuasa pula membabitkan dakwaan Muhyiddin meminta jumlah tersebut daripada syarikat berkenaan.

Dalam prosiding, hakim memaklumkan pihak pendakwaan tidak memberikan alasan bagi permohonan itu dan hanya menyatakan tidak berhasrat untuk meneruskan pertuduhan.

Keputusan berkenaan kemudian mencetuskan gesaan supaya Peguam Negara memberikan penjelasan mengenai alasan pendakwaan menghentikan empat pertuduhan terbabit, termasuk daripada Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Menjawab persoalan itu, AGC menegaskan fungsi pendakwa raya bukan untuk mempertahankan sesuatu pertuduhan pada setiap keadaan, sebaliknya memastikan hanya pertuduhan yang mempunyai asas keterangan mencukupi serta boleh dipertahankan di mahkamah diteruskan.

AGC turut menjelaskan bahawa keputusan tidak meneruskan pertuduhan berkenaan tidak bermaksud ia dibuat tanpa asas, malah tidak boleh ditafsirkan sebagai dapatan bahawa transaksi yang menjadi subjek siasatan tidak berlaku.

Menurutnya, keputusan pendakwaan juga boleh dinilai semula selepas keseluruhan keterangan, kebolehterimaan bukti, kredibiliti saksi serta kesan terhadap prosiding lain diteliti secara menyeluruh.

“Selepas mengambil kira kesemua faktor tersebut, meneruskan empat pertuduhan berkenaan tidak lagi dianggap sebagai langkah pendakwaan yang wajar dan berhemat,” katanya.

Bagaimanapun, AGC menegaskan prosiding terhadap Muhyiddin belum berakhir apabila pendakwaan akan meneruskan tiga pertuduhan lain di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tiga pertuduhan itu kekal menjadi sebahagian daripada kes yang sedang dihadapi bekas Perdana Menteri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles