KUALA LUMPUR,— YTL Power International Berhad dan Ganda Power menandatangani perjanjian tempahan dengan Siemens Energy bagi empat lagi unit turbin gas SGT-9000HL untuk menyokong projek penjanaan elektrik di Malaysia dan rantau ini.
Perjanjian yang ditandatangani pada 14 September itu menjadikan jumlah keseluruhan turbin yang ditempah kedua-dua syarikat sebanyak tujuh unit, termasuk tiga unit yang diperoleh menerusi tempahan terdahulu.
Menurut kenyataan YTL Power, turbin berkenaan dirancang untuk menyokong projek penjanaan elektrik dengan kapasiti gabungan melebihi 5,250 megawatt (MW).
Langkah itu bertujuan memenuhi peningkatan keperluan tenaga susulan pengembangan industri, elektrifikasi serta pembangunan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan bekalan elektrik yang boleh diharap.
Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, berkata Siemens Energy merupakan rakan kerjasama syarikat itu selama lebih tiga dekad, berteraskan komitmen bersama terhadap kecemerlangan kejuruteraan dan pelaburan jangka panjang.
Beliau berkata, tambahan turbin bersama Ganda Power itu mengukuhkan keupayaan syarikat untuk meneroka penyelesaian tenaga yang cekap, berdaya saing dan boleh diharap di peringkat global.
Menurut YTL Power, perjanjian itu menyokong usaha memenuhi peningkatan keperluan tenaga berikutan pengembangan industri, elektrifikasi serta pembangunan pusat data dan AI di Malaysia dan rantau ini.
Tempahan berkenaan turut melengkapi pelaburan infrastruktur digital syarikat, merangkumi pusat data, pengkomputeran dipercepat berasaskan teknologi NVIDIA melalui YTL AI Cloud serta pembangunan model dan aplikasi AI oleh YTL AI Labs, termasuk model bahasa besar Malaysia, ILMU.
Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Siemens Energy AG merangkap Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Gas, Karim Amin, berkata infrastruktur bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan berdaya tahan penting bagi menyokong pertumbuhan pusat data serta memperkukuh keselamatan tenaga negara.
Beliau berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama Siemens Energy, YTL Power dan Ganda Power terhadap perkembangan ekonomi digital serta kapasiti penjanaan elektrik masa depan Malaysia.
Menurut Siemens Energy, keluarga turbin gas SGT-9000HL direka untuk menawarkan kecekapan tinggi, fleksibiliti operasi dan kebolehpercayaan bagi menyokong bekalan elektrik yang stabil ketika lebih banyak tenaga boleh baharu disepadukan ke dalam sistem kuasa.
Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Ganda Power diwakili pengarahnya, Yang Dimuliakan Engku Maharaja Lela Setia Paduka Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail, manakala YTL Power diwakili Yeoh dan Siemens Energy oleh Amin.










