Mahkamah Setuju Lepas, Bebas Muhyiddin Dari Empat Pertuduhan, 3 Lagi Kekal

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan membabitkan dakwaan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Noor Ruwena Md Nurdin, selepas membenarkan permohonan peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Keempat-empat pertuduhan berkenaan mempunyai kaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan empat pertuduhan terbabit selepas meneliti keseluruhan kedudukan kes.

Beliau bagaimanapun menjelaskan permohonan pendakwaan itu hanya terhad kepada empat pertuduhan berkenaan dan tidak melibatkan pertuduhan lain yang masih dihadapi Muhyiddin.

“Pihak pendakwaan ingin memaklumkan bahawa setelah meneliti keseluruhan kedudukan kes, kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan pertama bagi perbuatan guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

“Dengan itu, pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh diberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi pertuduhan-pertuduhan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Namun, mahkamah akhirnya memutuskan untuk melepas dan membebaskan (DAA) Muhyiddin daripada keempat-empat pertuduhan tersebut.

Keputusan itu tidak menamatkan keseluruhan kes yang dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan.

Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM25.3 juta yang belum diputuskan dan masih melalui proses perbicaraan.

Empat pertuduhan yang dilepaskan hari ini pada asalnya merupakan sebahagian daripada kes jenayah yang dihadapi Muhyiddin berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Pertuduhan penggunaan kedudukan itu membabitkan dakwaan memperoleh suapan RM200 juta, manakala tiga pertuduhan pengubahan wang haram turut melibatkan jumlah RM200 juta.

BBerkaitan

Latest articles