KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengarahkan peguamnya mengemukakan surat tuntutan kepada pemilik akaun media sosial yang didakwa menuduh beliau terlibat dalam rasuah berkaitan isu pembekalan baja di Kedah.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kebebasan bersuara di media sosial tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan tidak berasas atau kenyataan berunsur fitnah.
“Saya sudah meminta peguam menghantar surat tuntutan kepada pemilik akaun yang terbabit. Media sosial memberi ruang kepada semua untuk bersuara, tetapi setiap kenyataan perlu dibuat secara bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Hantaran itu turut disertakan tangkap layar satu hantaran Facebook yang mendakwa menteri berkenaan terlepas daripada tindakan dalam siasatan rasuah, sedangkan individu yang ditahan setakat ini hanya membabitkan kontraktor.
Perkembangan itu berlaku ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap isu pembekalan baja kepada kira-kira 60,000 pesawah di Kedah bagi musim pertama 2026.
Berdasarkan dapatan SPRM, sebuah syarikat yang dilantik kementerian untuk membekalkan baja di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hanya membekalkan 333,655 daripada 616,015 beg baja yang diperlukan setakat September.
Keadaan itu menyebabkan kekurangan sebanyak 282,360 beg baja.
Pengarah urusan syarikat terbabit kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan, manakala SPRM sebelum ini memaklumkan Mohamad dan Ketua Setiausaha kementeriannya berkemungkinan dipanggil untuk memberikan keterangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad mengarahkan semua organisasi di bawah kementeriannya memperkukuh tadbir urus bagi memastikan pengurusan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang.
Beliau menegaskan sebarang kelemahan pengurusan, ketidakpatuhan atau isu yang berpotensi menjejaskan kepentingan awam perlu dikenal pasti serta ditangani menerusi tindakan sewajarnya.
“Pengurusan agensi dan anak syarikat juga mesti memastikan setiap keputusan, perolehan dan penggunaan dana awam dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Arahan itu turut menekankan keperluan setiap agensi dan anak syarikat kementerian memastikan proses membuat keputusan, perolehan serta pengurusan dana awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.










