PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, membuat dua laporan polis berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani dokumen proklamasi untuk menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan perkara itu, namun menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Saya boleh sebut ada dua laporan polis dibuat oleh menteri besar,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Saifuddin, polis telah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes itu kerana siasatan masih di peringkat awal.
“Saya serahkan kepada kebijaksanaan polis bagaimana nak kendalikan aduan itu. Terlalu awal untuk saya memberikan ulasan,” katanya.
Kontroversi berhubung dokumen proklamasi berkenaan tercetus selepas beberapa individu, termasuk Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah, mendedahkan dokumen bertarikh 3 Ogos yang didakwa mengandungi perisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada kedudukan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada sidang media minggu lalu, empat Undang turut didakwa menunjukkan dokumen sama, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kesahihan serta proses yang digunakan dalam perisytiharan berkenaan.
Ismail, yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos lalu, sebelum ini mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen tersebut.
Beliau kemudian membuat laporan polis bagi membolehkan dakwaan berkenaan disiasat.
Ismail turut mempertikaikan kesahihan dokumen itu dengan mendakwa ia tidak mematuhi proses dan tatacara yang ditetapkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.










