​KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dokumen dan pernyataan saksi yang dikemukakan dalam perbicaraan kes jenayah pemimpin itu diperoleh menerusi saluran undang-undang yang sah dan betul, bukannya dicuri, dibocorkan atau diperoleh secara sulit.
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata dokumen tersebut dikeluarkan susulan laporan polis yang dibuat semalam (14 Sept) berkaitan penggunaan pernyataan saksi yang direkodkan di bawah Seksyen 53(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dalam perbicaraan yang sedang berlangsung.
​Menurutnya, individu terbabit merupakan figura penting dalam perbicaraan yang melibatkan Muhyiddin, di mana walaupun individu itu pada mulanya dijangka dipanggil sebagai saksi pendakwaan, pihak pendakwaan pada saat-saat akhir memutuskan untuk tidak memanggilnya.
​”Bagaimanapun, dokumen berkenaan diperoleh secara sah di mana ia merupakan sebahagian daripada dokumen yang dizahirkan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah dalam prosiding jenayah berasingan, dan ia adalah antara dokumen yang dikeluarkan serta dizahirkan sendiri oleh pihak pendakwaan.
​”Dokumen tersebut kemudiannya sampai ke tangan pasukan guaman kami melalui amalan guaman biasa dalam prosiding tersebut.
“Oleh itu, laporan polis yang dibuat adalah palsu dari sudut ia cuba menggambarkan dokumen itu diperoleh secara tidak wajar atau menyalahi undang-undang,” jelasnya.
​Tambahnya, pihak SPRM malah tidak pernah mendekati mereka untuk mengenal pasti atau mengesahkan sumber dokumen itu diperoleh. Sebaliknya, laporan polis dibuat berdasarkan andaian semata-mata tanpa sebarang pertanyaan awal kepada pihak pembelaan mengenai asal-usul dokumen tersebut, sekali gus menunjukkan SPRM terburu-buru membuat kesimpulan sebelum menetapkan fakta berkaitan.
​Beliau menegaskan pernyataan tersebut mengandungi fakta ekskulpatori yang penting dan mungkin memihak kepada anak guam mereka, manakala sama ada fakta tersebut relevan, boleh diterima, kredibel atau wajar diberi wajaran adalah terletak di bidang kuasa Mahkamah untuk memutuskan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
​”Tindakan pihak penyiasat tidak seharusnya bersifat mengugut atau memberi tekanan kepada pihak yang cuba membawa bahan tersebut kepada perhatian Mahkamah.
“Kami amat bimbang tindakan semasa ini kelihatan seperti taktik ugutan dan berisiko mewakili percubaan untuk mempengaruhi atau mencampuri proses keadilan yang sedang berjalan,” jelasnya.
​Terdahulu, pegawai SPRM yang terlibat telah mengakui ketidakwajaran tindakan tersebut dan mengemukakan permohonan maaf, di samping berjanji untuk menarik balik laporan polis yang dibuat di mahkamah pagi tadi.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mereka tidak menerima permohonan maaf tersebut dan secara jelas merizabkan segala hak mereka berkaitan perkara berkenaan.
​Amer Hamzah menggesa agar agensi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM sentiasa bertindak secara adil, objektif dan tanpa rasa takut atau pilih kasih, serta memastikan proses keadilan jenayah membenarkan semua fakta material dibentangkan di Mahkamah tanpa sebarang ugutan atau ketakutan terhadap tindakan balas.










