KUALA LUMPUR: Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, enggan mengulas lanjut berhubung keputusan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya mengarahkan persoalan itu diajukan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Azalina berkata, beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan, walaupun Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) berada di bawah kementeriannya.
Menurutnya, BHEUU hanya berperanan sebagai sekretariat Lembaga Pengampunan, manakala urusan berkaitan lembaga itu melibatkan wakil eksekutif negeri masing-masing.
“Walaupun Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah saya, isu lembaga pengampunan adalah bagi setiap negeri.
“BHEUU adalah sekretariat, tetapi menteri dan menteri besar negeri berkenaan merupakan wakil eksekutif dalam lembaga pengampunan,” katanya.
Hannah yang menganggotai Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) sebelum ini menjadi antara pihak yang dirujuk berhubung perkara berkenaan.
Pada Jumaat lalu, BHEUU memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat LPWP akan datang.
Keputusan itu kemudian mencetuskan desakan PAS supaya kerajaan memberikan penjelasan mengenai sebab permohonan berkenaan ditangguhkan, dengan alasan perkara itu membabitkan kepentingan awam.
Najib, 72, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, sebelum hukuman itu dikurangkan LPWP kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Dalam perkembangan berasingan, Najib turut disabitkan pada Disember tahun lalu atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion, namun sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan tersebut.










