​KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti Kebangsaan Wanita DAP, Heng Lee Lee mengecam tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan beliau membuat lawak mengenai penampilan dan berat badan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
​Beliau mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri itu yang membiarkan anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tampil memohon maaf bagi pihak beliau, sedangkan kenyataan tersebut dikeluarkan sendiri oleh Ahmad Zahid.
​”Zahid adalah individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut dan kata-katanya yang mencetuskan rasa tersinggung. Mengapa beliau tidak melangkah ke depan untuk memikul tanggungjawab?
​”Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan presiden parti politik, bentuk akauntabiliti paling asas adalah mengambil tanggungjawab atas kata-kata dan tindakan sendiri, bukannya membiarkan anak perempuan beliau membuat permohonan maaf,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
​Mengulas lanjut, Lee Lee berkata wanita dalam arena politik sudah pun berdepan dengan penelitian yang jauh lebih ketat berbanding lelaki.
​Katanya, kemampuan, dasar, prestasi dan sumbangan pemimpin wanita wajar dikritik secara sihat, namun bentuk tubuh, usia dan penampilan tidak sepatutnya berulang kali menjadi subjek penghakiman awam.
​Beliau turut membangkitkan tindakan Ahmad Zahid yang menyifatkan jentera akar umbi sayap Wanita sebagai “jentera nenek-nenek”, menyifatkannya sebagai kurang menghormati golongan wanita.
​”Sayap wanita bukanlah aksesori kepada mana-mana parti politik, mahupun harus dimobilisasi apabila diperlukan dan dijadikan bahan ketawa apabila tidak diperlukan.
​”Untuk memuji sayap wanita sebagai tiang seri penting parti di satu sisi, tetapi membuat lawak tentang usia dan penampilan mereka di sisi yang lain, adalah satu bentuk hipokrasi politik,” tegasnya.
​Membandingkan situasi itu, beliau mengetengahkan pendirian DAP yang konsisten melaksanakan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita dalam kepimpinan pusat serta komited mengetengahkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
​Beliau turut merujuk beberapa contoh kes di peringkat antarabangsa, antaranya bekas Perdana Menteri Jepun, Yoshiro Mori dan pengarah kreatif Sukan Olimpik Tokyo, Hiroshi Sasaki yang kedua-duanya terpaksa meletakkan jawatan selepas mengeluarkan kenyataan diskriminasi atau menyentuh fizikal wanita pada tahun 2021.
​”Kejadian ini sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa dalam masyarakat demokratik, lebih tinggi jawatan yang disandang, lebih besar tanggungjawab yang harus dipikul terhadap kata-kata seseorang,” ujarnya.
​Dalam pada itu, Lee Lee turut meluahkan rasa kesal apabila perhimpunan agung parti tersebut dipenuhi dengan naratif serangan terhadap DAP dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain membangkitkan kontroversi lawak berunsur lucah yang diceritakan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said di pentas perhimpunan.
​”Rakyat Malaysia boleh memegang pandangan politik yang berbeza dan melibatkan diri dalam perbahasan politik paling sengit, tetapi maruah wanita dan kepercayaan agama tidak boleh sekali-kali menjadi alat untuk ahli politik meraih tepukan dan ketawa,” jelasnya.
​Sehubungan itu, beliau mendesak agar Ahmad Zahid berhenti berselindung di sebalik alasan “lawak” dan berhenti melepaskan tanggungjawab kepada anaknya.
​”Kepimpinan sebenar bermaksud memikul tanggungjawab atas kata-kata sendiri; kematangan politik sebenar bermaksud tahu cara mengkritik lawan tetapi pada masa sama tahu menghormati wanita dan pihak lain.
​”Apa yang Zahid berhutang kepada orang ramai bukan sekadar permohonan maaf, tetapi penjelasan yang selayaknya dengan tanggungjawab seorang Timbalan Perdana Menteri,” tegas Lee Lee.










