MyKad Baharu Mula 17 Sept, KDN Nasihat Rakyat Jangan Berpusu-pusu

PORT DICKSON: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu menukar MyKad lama kepada versi baharu yang akan mula dikeluarkan pada 17 September ini bagi mengelakkan kesesakan luar biasa di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata MyKad lama masih sah digunakan sehingga ia ditamatkan secara berperingkat, justeru tiada keperluan untuk orang ramai segera mendapatkan kad pengenalan baharu.

Menurutnya, fasa pertama pengeluaran MyKad baharu akan dilaksanakan di 40 pejabat JPN seluruh negara.

“Nasihat saya untuk tidak berpusu-pusu dahulu bagi mengelakkan kesesakan luar biasa. MyKad lama masih boleh digunakan sehingga kita phase out kad itu,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada Nurul Arini Abdullah di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata, JPN kini mengeluarkan antara 180,000 hingga 200,000 MyKad setiap bulan, termasuk bagi tujuan penggantian kad rosak, hilang dan permohonan baharu.

Justeru, peningkatan mendadak permohonan susulan pelaksanaan MyKad baharu dikhuatiri menjejaskan kelancaran urusan rakyat, khususnya urusan kerajaan yang menggunakan MyKad sebagai dokumen pengesahan.

Saifuddin berkata, MyKad baharu itu dilengkapi kira-kira 50 ciri keselamatan tambahan bagi memperkukuh tahap keselamatan kad pengenalan negara.

Beliau turut memberi jaminan bahawa rekod pemegang MyKad, termasuk kelayakan menerima subsidi dan bantuan kerajaan, tidak akan terjejas sekiranya kad lama digantikan dengan versi baharu.

“Data custodian kita ini adalah Jabatan Pendaftaran Negara, jadi data dia di situ. Kalau pun dia keluar macam kita ganti MyKad, kita hilang, kita ganti MyKad baharu, dia sama saja. Tak ada isu,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata rekod pemalsuan MyKad sepanjang tempoh 12 tahun pengeluaran versi lama menunjukkan tahap integriti yang tinggi.

Katanya, hanya sekitar 600 kes pemalsuan dikesan dalam tempoh berkenaan, dengan sebahagian daripadanya dipercayai digunakan untuk melepasi sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan MyKad palsu tidak boleh digunakan untuk urusan transaksi rasmi, termasuk pembelian minyak, perbankan dan insurans.

“Untuk tujuan transaksi tetap tak boleh. Tetap tak boleh,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira tiga juta transaksi minyak berlaku setiap hari di lebih 4,000 stesen minyak seluruh negara, namun tiada laporan diterima berhubung penggunaan MyKad palsu dalam transaksi berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin mendedahkan antara 13,000 hingga 15,000 kes kelahiran tidak didaftarkan dikendalikan JPN setiap tahun, meskipun negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-69.

Beliau menyifatkan jumlah itu masih tinggi dan mencerminkan kelemahan pengetahuan asas dalam kalangan sebahagian masyarakat mengenai kewajipan mendaftarkan kelahiran.

Katanya, pendaftaran kelahiran perlu dibuat dalam tempoh 60 hari di Semenanjung, manakala tempoh ditetapkan bagi Sabah dan Sarawak ialah 40 hari.

Pendaftaran yang dibuat selepas tempoh berkenaan masih dibenarkan, tetapi dikategorikan sebagai pendaftaran lewat.

“Sepatutnya ada pengetahuan tentang tanggungjawab mendaftar kelahiran mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian. Tetapi masih berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mendaftarkan kelahiran boleh menjejaskan masa depan kanak-kanak, termasuk menyukarkan mereka mendapat akses pendidikan dan dokumen pengenalan diri.

Saifuddin turut berkongsi bahawa JPN sebelum ini menyelesaikan masalah dokumentasi kira-kira 13,000 pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, kes berkenaan melibatkan warganegara Malaysia dan bukan anak warga asing yang dilahirkan di negara ini.

Sementara itu, Saifuddin menawarkan peluang menunaikan umrah kepada Nurul Arini, ibunya serta dua guru yang membantu gadis berkenaan mengatasi masalah dokumentasi sebelum ini.

Tawaran itu disampaikan ketika beliau menziarahi Nurul Arini dan ibunya, Wan Norin, buat kali kedua.

Nurul Arini sebelum ini menerima MyKad selepas proses pendaftaran di bawah Perkara 15A diselesaikan dengan bantuan pihak sekolah dan KDN.

Beliau kini menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), yang akan bermula tidak lama lagi.

Saifuddin berkata, syarikat pengurusan umrah Ikhlas.com bersetuju membantu membiayai perjalanan empat individu berkenaan.

Beliau kini mahu memastikan Nurul Arini dan ibunya memperoleh pasport dengan segera bagi membolehkan urusan perjalanan dilaksanakan.

BBerkaitan

Latest articles