Kuala Lumpur: Serian, Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi, iaitu 188, daripada 38 kawasan di seluruh negara yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia di Selangor mencatatkan bacaan kedua tertinggi pada 182, diikuti Pasir Gudang, Johor dan Cheras, Kuala Lumpur, masing-masing pada 171.
Johor merekodkan tujuh kawasan dengan IPU tidak sihat. Selain Pasir Gudang, kawasan terbabit ialah Larkin (168), Tangkak (167), Kota Tinggi (165), Batu Pahat dan Pengerang masing-masing 161 serta Kluang (152).
Di Selangor, enam kawasan berada pada tahap sama, membabitkan Johan Setia, Shah Alam (168), Petaling Jaya dan Klang masing-masing 160, Banting (157) serta Kuala Selangor (156).
Lima kawasan di Pahang turut mencatatkan bacaan tidak sihat, iaitu Balok Baru, Kuantan (162), Indera Mahkota, Kuantan (161), Temerloh (156), Jerantut (155) dan Rompin (152).
Di Sarawak, selain Serian, bacaan tidak sihat turut direkodkan di Samarahan (163) dan Kuching (154).
Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak masing-masing merekodkan tiga kawasan pada tahap tidak sihat.
Kawasan berkenaan ialah Nilai (168), Seremban (165) dan Port Dickson (151) di Negeri Sembilan; Kemaman (157), Paka (156) dan Kuala Terengganu (154) di Terengganu; serta Tanjung Malim (158), Seri Manjung (154) dan Tasek Ipoh (151) di Perak.
Di Melaka, bacaan tidak sihat dicatatkan di Alor Gajah (159) dan Bukit Rambai (156), manakala di Pulau Pinang membabitkan Balik Pulau (141) serta Minden (118).
Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Batu Muda, Kuala Lumpur (162), Putrajaya (166) dan Sungai Petani, Kedah (117).
Sementara itu, 30 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas berbahaya.










