KOZHIKODE (Kerala): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melihat cabaran supaya UMNO disingkirkan daripada kerajaan perpaduan sebagai ancaman serius terhadap pentadbirannya, sebaliknya menganggap gesaan itu sebagai pandangan parti.
Beliau berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan adalah perkara biasa, namun kestabilan negara perlu terus menjadi keutamaan.
“Jadi saya pilih pendekatan sederhana. Bagi saya, keutamaannya adalah memastikan kerajaan kekal stabil, jika tidak negara yang akan rugi,” katanya kepada pemberita, semalam.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan itu sendiri pernah mengemukakan pandangan tegas berhubung pelbagai isu sebelum ini.
Justeru, beliau tidak menganggap kenyataan yang dilontarkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung minggu lalu sebagai sesuatu yang perlu diperbesarkan.
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula ‘rumahtangga’,” katanya ketika ditanya mengenai perbezaan pandangan dalam kerajaan perpaduan.
Mengulas kemungkinan hubungan antara PH dan UMNO menjadi semakin tegang, Anwar berkata beliau setakat ini tidak melihat sebarang masalah dengan parti berkenaan.
“Saya tidak nampak apa-apa masalah,” katanya.
Pada PAU 2026, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan parti itu supaya menyingkirkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada kerajaan perpaduan.
Beliau turut menggesa pengkritik mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar di Parlimen, selain menyampaikan beberapa sindiran terhadap Perdana Menteri yang dirujuknya sebagai ‘guru’.
Bagaimanapun, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri kemudiannya menegaskan komitmen BN untuk terus berada dalam pentadbiran sedia ada sehingga tamat penggal.
Beliau turut menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat perwakilan daripada pelbagai sayap dan negeri pada PAU tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi UMNO, sebaliknya merupakan pandangan individu.










