Penangguhan Pengampunan Najib Di Bawah Budi Bicara Agong – Anwar

KOZHIKODE (Kerala): Keputusan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke mesyuarat akan datang Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) merupakan bidang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, peranannya dalam proses berkenaan adalah memberikan pandangan berlandaskan undang-undang serta nasihat Peguam Negara, manakala keputusan muktamad tertakluk kepada kuasa Seri Paduka Baginda.

“Namun, kita juga tahu perkara ini tertakluk kepada budi bicara dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Sudah tentu Agong perlu mengambil kira semua faktor berkaitan. Kita masih mempunyai banyak kes rasuah yang sedang ditangani dan prosesnya berjalan agak pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja ke India, semalam.

Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini turut menegaskan keperluan untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap isu membabitkan Tabung Haji dan Felda.

Kenyataan itu dibuat ketika diminta mengulas desakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, supaya kerajaan memberikan penjelasan berhubung penangguhan permohonan pengampunan Najib.

Takiyuddin sebelum ini mendakwa penangguhan tersebut tidak mungkin berlaku tanpa adanya anggota lembaga yang meminta atau membantah permohonan berkenaan.

Mengulas dakwaan itu, Anwar menegaskan PAS sepatutnya memahami peraturan serta bidang kuasa Lembaga Pengampunan sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Perkara ini tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu peribadi melibatkan Najib kerana terdapat kes rasuah lain yang masih dalam proses pendakwaan,” katanya.

Perdana Menteri turut mempersoalkan pendirian PAS yang disifatkannya tidak konsisten, khususnya apabila parti itu sebelum ini mengambil pendekatan lebih keras terhadap Najib.

Pada Jumaat lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Najib ditangguhkan ke mesyuarat LPWP akan datang.

Lembaga yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda itu sebelum ini dijangka mempertimbangkan permohonan pengampunan kedua Najib.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020, sebelum hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh LPWP.

Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada Ogos 2022.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut disabitkan pada Disember 2025 atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion, namun kini sedang merayu terhadap sabitan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles