YPM FC Julang Trofi Sulung Liga Rakyat Pahang, Bawa Pulang RM40,000

KUANTAN: YPM FC mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara sulung Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah selepas menundukkan Majlis Daerah Raub (MDR) 2-1 dalam aksi final di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan YPM FC membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000, manakala MDR yang muncul naib juara menerima RM20,000.

YPM FC membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi Wan Muhammad Akmal Hakim Wahab sebelum Nasyrullah Mohd Zaki menggandakan kelebihan pada minit ke-40.

MDR bagaimanapun cuba bangkit pada babak kedua dan merapatkan jurang menerusi Zaiful Zakwan Arnain pada minit ke-80. Namun, usaha mereka untuk menyamakan kedudukan tidak berhasil sehingga wisel penamat.

Perlawanan akhir itu turut berlangsung dalam suasana meriah dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadiah kepada pasukan pemenang disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, serta Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, penganjuran liga berkenaan yang bermula 6 Jun lalu berjaya menghimpunkan 105 pasukan dengan penyertaan kira-kira 2,600 pemain dari seluruh Pahang.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan itu, selain mengiktiraf sokongan rakyat Pahang terhadap usaha memperkasa sukan bola sepak di negeri berkenaan.

“Insha-Allah, Kerajaan Pahang akan terus memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dengan menyediakan lebih banyak ruang, pertandingan dan peluang kepada anak Pahang menyerlahkan bakat masing-masing, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles