SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada Oktober tahun lalu selepas pembelaan berjaya membuktikan dia tidak sempurna akal ketika kejadian.
Bagaimanapun, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, sehingga tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Peguam Kitson Foong yang mewakili remaja itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah menerima pembelaan berasaskan Seksyen 84 Kanun Keseksaan, yang berkaitan perbuatan individu yang tidak sempurna akal.
Menurutnya, dapatan mahkamah menunjukkan anak guamnya mengalami keadaan medical insanity yang membawa kepada pembuktian legal insanity ketika kejadian.
“Penama didapati tidak waras pada jam, tarikh dan masa kejadian pada Oktober 2025. Oleh itu, Seksyen 84 Kanun Keseksaan telah berjaya ditimbulkan oleh pembelaan.
“Mahkamah telah merekodkan keputusan pembebasan atas alasan tidak sempurna akal,” katanya kepada pemberita selepas prosiding keputusan kes berkenaan.
Foong berkata, mahkamah turut menerima keterangan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony, yang mengesahkan remaja terbabit menghidap skizofrenia serius dan agresif.
“Skizofrenia ini telah menyebabkan remaja itu bukan dirinya sendiri. Dia ingat dia dewa. Dia kata dia mendengar suara dan arahan seseorang dan perkara ini tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata, remaja itu akan memulakan rawatan bagi gangguan berkenaan, namun proses pemulihan memerlukan masa.
Foong turut memaklumkan bahawa hakim mengingatkan remaja terbabit supaya menyedari tindakannya telah menyebabkan kehilangan satu nyawa serta menghargai peluang kedua yang diberikan kepadanya.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan 11 saksi, manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi termasuk remaja berkenaan.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh rakan sekolahnya di bilik tandas pelajar perempuan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama, antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dihukum mati.
Namun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) akta sama membolehkan mahkamah memerintahkan kanak-kanak berkenaan ditahan selama tempoh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Terdahulu pada 12 Februari lalu, remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin.










