KUALA LUMPUR: PAS menuntut kerajaan tampil menjelaskan sebab Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke mesyuarat akan datang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata penangguhan berkenaan tidak seharusnya berlaku tanpa sebab yang jelas, termasuk kemungkinan adanya permintaan daripada anggota lembaga berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan kepada rakyat kerana perkara tersebut membabitkan kepentingan awam.
“Justeru, PAS menuntut kerajaan segera menjelaskan perkara ini kepada umum kerana ia adalah suatu isu berkepentingan awam yang tidak wajar dihalang daripada pengetahuan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, prosiding Lembaga Pengampunan diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Pada Jumaat lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menangguhkan permohonan Najib untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat seterusnya.
Lembaga berkenaan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong dijangka meneliti permohonan pengampunan kedua Najib.
Najib, 72, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebelum Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.
Pada Disember tahun lalu, Najib sekali lagi berdepan hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion bagi kesalahan berkenaan, namun kini sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan tersebut.










