FELDA Perkasa Tadbir Urus, Lantik Audit Bebas Selaras Saranan SPRM

​KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melangkah setapak lagi dalam memperkukuh integriti korporat apabila anak syarikatnya, FGV Holdings Berhad (FGV), melantik sebuah firma audit bebas bagi menjalankan audit forensik berhubung perkara khusus melibatkan entiti yang mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan.

​Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Strategik FELDA, langkah proaktif itu tidak terhad kepada FGV sahaja, malah proses pelantikan firma audit bebas yang serupa sedang giat dijalankan ke atas beberapa buah anak syarikat kumpulan yang lain.

​”Pelantikan ini dilaksanakan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jawatankuasa Khas Hala Tuju FELDA 2030,” jelas kenyataan itu.

​Tambah kenyataan itu, langkah berkenaan dirangka khusus untuk menambah baik tahap tadbir urus Kumpulan FELDA demi kelestarian agensi terbabit.

​FELDA menegaskan bahawa pihaknya akan terus meneliti keperluan untuk melantik firma audit bebas bagi melaksanakan pengauditan forensik secara profesional dan menyeluruh ke atas FELDA serta semua organisasi di bawah naungannya.

​Mengimbas kembali, inisiatif pengauditan forensik terhadap FELDA mula dilaksanakan sejak 2019 di mana FELDA sebelum ini pernah melantik Tetuan Ernst & Young (EY), dengan dapatan laporan audit berkenaan telah dibentangkan di Parlimen menerusi Kertas Putih FELDA pada 2020.

​”Pelaksanaan audit terbaharu ini mencerminkan komitmen berterusan pengurusan Kumpulan FELDA dalam memperkukuh aspek tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan di semua peringkat operasi,” menurut kenyataan itu lagi.

​FELDA turut menegaskan bahawa ia kekal tegas dengan pendiriannya untuk memastikan kepentingan organisasi serta kesejahteraan warga peneroka sentiasa dilindungi dan terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles