KUALA LUMPUR: PAS tidak melihat pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai ukuran keikhlasan kerjasama politik, sebaliknya mempersoalkan sejauh mana UMNO sendiri bersedia memberi laluan kepada parti itu di kawasan yang dimenanginya.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata PAS tidak perlu membuktikan keikhlasannya menerusi agihan kerusi seperti yang dicadangkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, khususnya dalam konteks kerjasama gabungan SG4 membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Menurutnya, UMNO sebelum ini tidak menyerahkan mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) miliknya kepada PAS dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Sebaliknya, katanya, bentuk kerjasama yang berlaku setakat ini lebih kepada persefahaman untuk saling memberi sokongan dan undi, bukannya pengorbanan kerusi yang telah dimenangi.
“Suruh Tok Mat beritahu PAS, kerusi mana milik UMNO yang sudah dilepaskan kepada PAS di Johor dan Negeri Sembilan atau di Melaka nanti.
“Kalau tiada satu pun kerusi milik UMNO diberikan kepada PAS, mengapa pula keikhlasan PAS mahu diuji di negeri lain?
“Keikhlasan UMNO setakat ini hanyalah mempertahankan apa yang mereka ada, malah berebut pula di kawasan yang belum dimiliki, termasuk kerusi PH dan parti bukan BN,” katanya memetik laporan BH.
Mohamad sebelum ini mencadangkan PRN di salah sebuah negeri SG4, terutama Terengganu, dijadikan medan bagi menguji keikhlasan rakan politik dalam usaha membentuk kerjasama lebih kukuh.
Beliau berpandangan langkah itu penting bagi menentukan sama ada gagasan penyatuan ummah Melayu benar-benar berteraskan keikhlasan atau hanya memberi kelebihan kepada pihak tertentu.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menolak keperluan mengadakan PRN baharu di Terengganu ketika pentadbiran negeri itu berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan prestasi yang baik.
Beliau menegaskan pilihan raya tidak seharusnya dijadikan instrumen untuk menguji keikhlasan sesuatu kerjasama politik kerana mandat sebenar tetap berada di tangan rakyat.
Katanya, selagi tiada keperluan mendesak, rakyat tidak wajar dibebankan dengan ketidaktentuan politik serta kos besar yang terpaksa ditanggung bagi mengadakan pilihan raya.
“Semua PRN negeri yang diadakan seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka akan datang adalah kerana tempohnya sudah cukup atau ia terpaksa diadakan.
“Formula di Negeri Sembilan adalah yang terbaik dengan mengekalkan kerusi yang dimenangi dan mencapai persepakatan di kawasan yang belum dimenangi,” katanya.
Tuan Ibrahim pada masa sama berpandangan pendekatan lebih wajar ketika ini ialah membubarkan Parlimen bagi membolehkan rakyat memberikan mandat baharu menerusi Pilihan Raya Umum.
“Bola kini di tangan BN, GPS dan GRS. Yang penting, PN sudah mengarahkan seluruh jentera supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.










